Jumat, 23 Desember 2011

Tafsir Ayat Kursi


Allah, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia  Yang Hidup kekal lagi terus menerus mengurus (makhluk-Nya); tidak mengantuk dan tidak tidur. Kepunyaan-Nya apa yang       di langit dan di bumi. Tiada yang dapat memberi syafa`at di sisi Allah tanpa izin-Nya. Allah mengetahui apa-apa yang di hadapan mereka dan di belakang mereka, dan mereka tidak mengetahui apa-apa dari ilmu Allah melainkan apa yang dikehendaki-Nya. Kursi Allah meliputi langit dan bumi.         Dan Allah tidak merasa berat memelihara keduanya, dan Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar. [Al-Baqoroh : 255]
Ayat ini terkenal dengan sebutan Ayat Al-Kursi, kerana ada kata ‘Al-Kursi’ di dalamnya. Kita telah mengetahui bahawa ayat ini  sangat  agung   sekali  kerana  semua  isinya menerangkan
tentang Allah Subhanahu wata’ala. Tak ada lagi perkara yang lebih agung melainkan perkara yang menerangkan tentang Allah Subhanahu wata’la. Ayat ini menerangkan tentang Allah mula daripada awal hingga ke akhir ayat.
Allah berfirman :”Allah, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia Yang Hidup Kekal lagi terus-menerus mengurus (makhluk-Nya)…”. Ayat ini dimulakan dengan lafaz Allah ; iaitu nama yang Allah tetapkan keatas Zat-Nya. Lafaz ini dinamakan juga dengan Lafaz Al-Jalaalah (Lafaz Keagungan). Nama ini hanya Allah yang memakainya, Allah tidak pernah mengizinkan sesiapapun daripada makhluk-Nya untuk mengambil nama ini keatas diri mereka atau keatas yang lainnya. Allah menjaga nama-Nya ini sehingga tetap menunjukkan keagungan dan kemuliaan-Nya.
Jadi, lafaz ‘Allah’ tidaklah ia kembali melainkan hanya kepada Zat Yang Agung dan Mulia. Kata-kata berikutnya menjelaskan bahawa Allah itu adalah Tuhan yang disembah dengan kebenaran di alam ini. Tidak ada lagi selain Allah yang berhak disembah, kerana selain Allah adalah makhluk yang tidak memiliki apa-apa. Sesungguhnya apa-apa yang dimiliki oleh selain Allah adalah datang daripada Allah Subhanahu wata’ala ; kuasa, kehendak, ilmu, kehidupan, penglihatan, pendengaran, perkataan ; semuanya adalah daripada Allah.  لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ      (Tidak ada daya dan kekuatan melainkan daripada Allah)
Selanjutnya Allah menerangkan bahawa Allah yang disembah itu adalah Yang Hidup Kekal. Selain Allah akan mati dan binasa. Allah berfirman :”Janganlah kamu sembah disamping  menyembah Allah,  tuhan  apapun  yang  lain. Tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Tiap-tiap sesuatu pasti binasa kecuali Allah. Bagi-Nya lah segala penentuan dan hanya kepada-Nya lah kamu dikembalikan.” (Q.S. Al-Qashash : 88)
Semua makhluk akan binasa di hari kiamat ; manusia, jin, haiwan dan yang bernyawa lainnya. Yang Kekal Hidup hanyalah Allah. Daripada sini nampaklah keagungan dan kemuliaan Allah. Tiadalah patut selain Allah dinamakan agung dan mulia, kerana akhirnya adalah kematian dan kebinasaan.
Maka manusia yang bijaksana adalah yang mengetahui perkara ini lalu menggantungkan hidupnya kepada Yang Hidup Kekal, bukan kepada yang hidup sementara yang pada akhirnya akan meninggal dunia dan binasa.
Selanjutnya Allah menerangkan bahawa Allah yang disembah itu adalah Yang Menguruskan makhluk-Nya terus menerus. Allah menguruskan perihal makhluk-Nya tanpa henti-hentinya barang sesaatpun ; siapapun makhluk tersebut, berapapun jumlahnya, dimanapun tempatnya, bilapun masanya. Misalnya Allah-lah yang menguruskan manusia seluruhnya daripada dahulu hingga sekarang ; semenjak daripada alam roh, alam rahim, alam dunia, alam barzakh, alam mahsyar, sehinggalah di neraka ataupun di syurga. Allah-lah yang menguruskan hidup mereka ; petunjuk dan segala keperluan hidup mereka. Allah-lah yang terus menguruskan hidup mereka meskipun mereka tidur dan tidak lagi mereka menguruskan hidup mereka sendiri. Daripada sini nampaklah keagungan dan kemuliaan Allah.
Selanjutnya Allah menerangkan bahawa Allah yang disembah itu  adalah  Yang Tidak  Mengantuk  dan  Tidak  Tidur.
Mengantuk dan tidur adalah sifat kekurangan yang ia hanya ada pada makhluk, sementara Allah adalah Tuhan Yang Maha Sempurna. Mengantuk adalah permulaan daripada tidur, tidur pula adalah perbuatan dimana seseorang tidak mampu lagi menguasai dirinya sendiri, kesedarannya telah hilang meskipun jantungnya masih berdenyut. Disaat tidur seseorang tidak berupaya menguasai diri sendiri dan lebih tidak berupaya dalam menguasai orang lain. Mustahil Allah memiliki sifat yang sedemikian. Sifat tersebut bertentangan dengan keagungan dan kemuliaan Allah. Daripada sini bertambahlah keyakinan bahawa Tuhan tempat bergantung itu betul-betul sempurna dan Maha Berkuasa sepanjang masa.
Selanjutnya Allah menerangkan bahawa Allah yang disembah itu Memiliki apa sahaja yang ada di langit dan apa sahaja yang ada di bumi. Tidak ada yang tidak Allah miliki. Langit yang terjunjung diatas, bumi yang terhampar dibawah, matahari, bulan, bintang, awan, udara, malaikat, jin, manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan, air, kesemuanya dimiliki oleh Allah.  Makna pemilikan adalah penguasaan yang sempurna. Perkataan kita :’Dia memiliki rumah itu’ ; maknanya dia yang berkuasa keatas rumah tersebut ; dia ingin besarkan, atau ingin mencatnya dengan warna apa sahaja, atau ingin menjualnya, maka ia boleh berbuat demikian, kerana ia yang memilikinya. Kita tidak berkuasa berbuat demikian kerana kita bukan yang memilikinya.
Allah memiliki apa sahaja yang ada di langit dan apa sahaja yang ada di bumi kerana Allah lah yang menciptakan semua itu. Oleh kerana Allah yang memiliki maka Allah berkuasa keatasnya dengan sempurna. Segala apa yang kita miliki adalah juga dimiliki oleh Allah.  Makna pemilikan yang kita pakai untuk diri kita adalah pemilikan yang terbatas ; pemilikan tersebut berada dibawah pemilikan Allah yang luas  tak  berbatas. Adakalanya  apa yang kita miliki kita tidak berkuasa keatasnya. Contohnya banyak sekali, ambillah mata sebagai salah satu contohnya. Kita berkuasa keatas mata kita ; kita akan pakai untuk melihat atau kita akan tutup sehingga tidak melihat apa-apa. Tetapi berkuasakah kita untuk melihat apabila Allah tidak mengizinkan mata tersebut untuk boleh melihat ? Umpamanya tidak dapat melihat yang jauh, bolehkan kita berkuasa untuk memastikan mata tersebut dapat melihatnya juga ? Nescaya tidak. Inilah yang kita sebut dengan pemilikan yang terbatas. Pemilikan Allah adalah pemilikan yang luas tak berbatas. Pemilikan-Nya tidak dibatasi oleh sesiapapun. Tadi baru mata yang kita contohkan, belum lagi pada telinga, mulut, gigi, lidah, tangan, kaki, mulut, akal, hati dan lain-lainya. Belum lagi pada isteri, suami, anak, orang tua, harta, kekuasaan dan lain sebagainya. Sungguh Allah Maha Memiliki apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Daripada sini nampaklah keagungan dan kemuliaan Allah.
Maka seorang yang bijak sana akan meminta kepada Allah yang merupakan pemilik segala sesuatu. Apabila Allah berkehendak untuk memberikan maka tiada sesiapa yang boleh menahannya.
Selanjutnya Allah menerangkan bahawa tiada sesiapa yang dapat memberi syafa’at disisi Allah tanpa izin-Nya.Syafa’at maknanya pertolongan atau bantuan. Pada sisi bahasa maknanya genap ; syafa’at dikatakan sebagai pertolongan kerana ia menggenapkan bekal yang tadinya tidak cukup. Dengan syafa’at maka cukuplah bekal seseorang dan tertolonglah ia daripada menjalani seksaan. Tidak ada sesiapapun yang boleh memberikan syafa’at melainkan dengan izin Allah. Nabi Muhammad SAW adalah diantara yang telah diberi  izin  oleh  Allah  untuk  memberi
syafa’at ; seperti mempercepat Mizan (penimbangan perbuatan manusia), memberikan minuman di Mahsyar daripada Telaga Al-Kautsar, membantu dalam meniti Ash-Shiraat (titian halus, tajam dan panjang di mulut neraka), dan lain-lainnya.
Jadi pada hakekatnya syafa’at itu adalah hak milik Allah Subhanahu wata’ala. Allah berfirman :
”Katakanlah, hanya kepunyaan Allah syafa’at itu semuanya. Kepunyaan-Nya kerajaan langit dan bumi. Kemudian kepada-Nya lah kamu dikembalikan”. (Q.S. Az-Zumar : 44).
Jadi Allah-lah pemberi syafa’at sebenarnya. Manusia yang menyangka bahawa selain Allah boleh memberi syafa’at akan kecewa disaat datang menghadap Allah dalam keadaan bersendirian. Allah berfirman :
”Dan sesunggunya kamu datang kepada Kami sendiri-sendiri sebagaimana   Kami  ciptakan kamu pada mulanya, dan kamu tinggalkan dibelakangmu apa yang telah Kami kurniakan kepadamu ; dan Kami tiada melihat besertamu  pemberi-pemberi syafa’at yang kamu anggap bahawa mereka itu sekutu-sekutu Allah diantara kamu. Sungguh sudah terputuslah (perhubungan) antara kamu dan telah lenyap daripada kamu apa yang dahulu kamu anggap (sebagai sekutu Allah)”. (Q.S Al-An’am : 94) Bererti syafa’at itu hanya datang daripada Allah atau daripada sesiapa yang telah diizinkan oleh Allah. Daripada sini nampaklah keagungan dan kemuliaan Allah.Maka bermohonlah kepada Allah sehingga yang kurang akan dicukupkan.
Selanjutnya ayat Kursi ini juga menerangkan bahawa Allah mengetahui apa-apa yang ada dihadapan mereka dan yang dibelakang mereka. Dan mereka tiada mengetahui apa-apa daripada ilmu Allah melainkan apa yang dikehendaki-Nya. Yang dimaksudkan dengan apa-apa yang ada di hadapan mereka adalah apa-apa yang nyata yang dapat dicapai oleh panca indera manusia ; seperti mengetahui langit, bumi, air, udara, tumbuh-tumbuhan, haiwan manusia dan lain sebagainya. Tidak ada satupun benda zahir yang tidak diketahui oleh Allah ; besar ataupun kecil, kasar ataupun halus, sedikit ataupun banyak. Jangankan yang zahir, yang gaib yang berada dibelakang manusiapun Allah mengetahuinya. Allah Maha Mengetahui apa yang disembunyikan didalam hati, Allah berfirman :
”Dia (Allah) mengetahui (pandangan) mata yang berkhianat dan apa yang disembunyikan oleh hati”. (Q.S Ghaafir : 19). Bahkan lebih daripada itu, apa yang belum terjadipun Allah telah mengetahuinya. Allah mengetahui bila kiamat terjadi, bila hujan turun, apa yang ada di dalam rahim, apa yang akan  dilakukan oleh manusia pada esok hari dan di bumi mana manusia itu meninggal dunia. Allah berfirman :
”Sesungguhnya Allah, hanya pada sisi-Nya sahajalah pengetahuan tentang hari kiamat, dan Dia lah yang menurunkan hujan dan mengetahui apa yang ada di dalam rahim. Dan tiada seorangpun yang dapat mengetahuinya dengan pasti apa yang akan diusahakannya besok, dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi mana ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Memberitakan semula”.(Q.S. Luqmaan : 34)
Jadi jelaslah bahawa Allah mengetahui segala-galanya, tidak ada satupun yang tersembunyi daripada ilmu Allah ; semuanya dalam ilmu Allah, dalam pengetahuan Allah. Seandainya ada diantara manusia yang mengetahui sesuatu perkara daripada apa-apa yang Allah ketahui maka hal itu adalah daripada kehendak Allah dan ianya tidak terkeluar daripada ilmu Allah yang luas. Umpamanya manusia mengetahui tentang perkembangan janin di dalam rahim, pergerakan gunung, kemungkinan hujan, dan lain sebagainya ; semua itu hanyalah sebahagian kecil daripada ilmu Allah yang sangat luas ; itupun tidak diberikan kepada semua manusia, tetapi kepada sesiapa yang Allah kehendaki sahaja. Bahkan apabila Allah berkehendak untuk mencabutnya semula maka manusia  kembali   tidak   mengetahui   apa-apa ; menyangka janin yang dilahirkan laki-laki rupanya perempuan, menyangka gunung telah mati rupanya masih aktif meletus, menyangka panas hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari, ketika muda banyak mengetahui namun ketika tua sudah banyak yang tidak diketahui lagi. Allah berfirman :
”Allah menciptakan kamu, kemudian mewafatkan kamu ; dan diantara kamu ada yang dikembalikan kepada umur yang paling lemah (nyanyuk/pikun) supaya dia tidak mengetahui lagi sesuatupun yang pernah diketahuinya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi maha Berkuasa”. (Q.S. An-Nahl : 70) Daripada sini nampaklah keluasan ilmu Allah, dengan sendirinya nampaklah keagungan dan kemuliaan Allah.
Maka manusia yang bijaksana adalah yang sentiasa minta curahan ilmu daripada Allah ; kerana semakin banyak ilmu diberikan maka semakin mudah menjalani hidup, dan semakin berharga dan mulia pribadi yang dimiliki.
Selanjutnya Allah menerangkan bahawa Kursi-Nya meliputi langit dan bumi. Apakah yang dimaksudkan dengan Kursi ?Kursi daripada sisi bahasa maknanya sandaran ; gunanya apabila sesuatu diletakkan diatasnya maka akan menjadi kokoh dan kuat. Misalnya sebuah peti sejuk, apabila diletakkan diatas sandarannya maka ia akan kokoh. Sandaran itu disebut dengan Kursi. Daripada makna ini pula sandaran yang dipakai oleh manusia disebut kursi atau kerusi. Untuk raja atau sultan disebut singgahsana ; iaitu tempat bersemayam atau bertakhta.
Lalu apakah makna seperti itu pula yang terdapat di dalam ayat ini ? Jelas tidak, sebab Kursi yang terdapat didalam ayat ini berhubungan dengan Allah. Jadi mestilah Kursi Allah difahami melalui kaedah  لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْئٌ    (Allah tidak menyerupai sesuatu apapun). Apabila kita memahami Kursi itu adalah sandaran seperti sandaran kita maka ‘Kursi Allah’ maknanya sandaran Allah atau singgahsana Allah, bererti kita telah menetapkan Allah itu bertempat seperti kita, dengan demikian bermakna Allah serupa dengan ciptaan-Nya, kerana sifat makhluk itu bertempat.
Tidak demikian kita memahaminya. Imam Malik Rahimahullah pernah mengajarkan cara selamat untuk memahami perkara-perkara yang berhubungan dengan Allah seperti : Tangan Allah, Arasy Allah, Kursi Allah dan lain sebagainya. Caranya adalah dengan mengembalikan ilmunya kepada Allah dan tidak mempersoalkannya lagi, kerana perkara-perkara itu adalah termasuk perkara-perkara yang tidak mungkin dapat manusia mengetahuinya. Apabila kita telah mengetahui makna Kursi maka cukuplah, apabila kita telah mengetahui makna tangan maka cukuplah, jangan bahaskan lagi perkara yang lain ! Disaat kita memaksakan diri untuk membahasnya juga maka kita akan terperangkap bahawa Allah itu sama dengan makhluk. Apabila itu terjadi maka kita telah menodai keagungan dan kemuliaan Allah.
Cukup bagi kita untuk mengetahui bahawa Kursi Allah amat luas sekali meliputi langit dan bumi. Salah seorang sahabat yang bernama Abu Dzar Al-Ghifary pernah bertanya kepada Rasulullah tentang keluasan Kursi Allah, Rasulullah menjawab, “Wahai Abu Dzar, tidaklah langit yang tujuh lapis itu dan bumi yang tujuh lapis itu melainkan seperti sebuah rantai kalung yang berada diatas padang pasir yang luas. Dan keutamaan Arasy pula apabila dibandingkan dengan Kursi adalah seperti padang pasir dengan sebuah rantai kalung tadi” (H.R. Ibnu jarir)
Bererti sungguh besar dan luas sekali, sekali-kali kita tidak akan mampu untuk mengetahuinya dengan sempurna. Jangan Kursi Allah, bumi ini sahaja kita baru mengetahui akhir-akhir ini, belum lagi bintang-bintang dan matahari, apalagi langit yang tujuh lapis. Sungguh Kursi Allah menunjukkan keagungan dan kemuliaan Allah. Maka orang-orang yang beriman kepada Allah tidak akan pernah ragu sedikitpun terhadap Allah yang mereka sembah.
Selanjutnya Allah menerangkan bahawa keagungan dan kemuliaan-Nya juga dapat dilihat daripada pemeliharaan langit dan bumi tanpa sedikitpun merasa berat dan susah. Allah berfirman :”Dan Allah tidak merasa berat memelihara keduanya”.
Seseorang merasa berat memikul sesuatu barang apabila kekuatan yang ada padanya tidak sebanding dengan barang yang dipikulnya. Misalnya kekuatan yang ada padanya hanya boleh memikul 40 kg beras, kemudian diberikan kepadanya 80 kg beras untuk dipikul dan dibawa. Tentu ia akan merasa berat dalam memikul dan membawanya. Namun apabila diberikan 5 kg beras tentu ia tidak akan merasa berat dalam memikulnya. Demikian pulalah dengan Allah Subhanahu wata’ala, Allah tidak merasa berat dalam memelihara langit dan bumi, kerana meskipun berat dan berlapis-lapis tetapi masih lagi kecil dihadapan kekuasaan Allah yang luas tak berbatas, yang besar tak berhingga. Jangankan dihadapan kekuasaan Allah, dihadapan Kursi Allah sahaja langit dan bumi itu telah terliputi seperti yang telah diterangkan oleh firman Allah sebelum ini. Dalam Surah Al-Baqoroh ayat 117 disebutkan bahawa apa sahaja yang Allah kehendaki ; samada dalam penciptaan, pemeliharaan, atau pembinasaanya, Allah hanya cukup berfirman “Kun Fayakuun’ (Jadilah ! Maka jadilah ia). Allah berfirman :
“Allah Pencipta langit dan bumi, dan apabila Dia berkehendak (untuk menciptakan) sesuatu, maka (cukuplah) Dia hanya mengatakan kepadanya: "Jadilah". Lalu jadilah ia”. (Q.S. Al-Baqoroh : 117)
Daripada sini nampaklah jelas bahawa Allah tidaklah sedikitpun merasa berat dalam memelihara langit dan bumi, termasuk manusia yang ada di permukaan bumi. Maka mengapa mesti putus asa hanya kerana penyakit yang diderita, atau harta benda yang kurang, atau kerana musuh yang jauh lebih banyak dan lebih kuat sementara diri dan sahabat lebih sedikit dan lemah, atau masalah hidup lainnya yang belum selesai, mengapa mesti berputus asa, bukankah semua itu berada dalam kekuasaan Allah, bukankah semua itu terlalu mudah bagi Allah untuk diselesaikan, maka mohonlah pertolongan Allah, sesungguhnya tidak ada yang tidak dapat diselesaikan dengan kekuasaan Allah. Sungguh ayat ini menampakkan keagungan dan kemuliaan Allah.
Selanjutnya Allah menerangkan bahawa Dialah (Allah) Yang Maha Tinggi. Makna kata ‘tinggi’ disini bukanlah menunjukkan tempat seperti yang dipasangkan kepada makhluk. Sesungguhnya Allah tidak serupa dengan makhluk-Nya. Makna kata tinggi disini adalah Allah Maha Tinggi dalam keagungan dan kemuliaan. Ketinggian Allah nampak dalam penciptaan langit  dan bumi dengan kebenaran, Allah berfirman :
”Dia menciptakan langit dan bumi dengan hak. Maha Tinggi Allah daripada apa yang mereka persekutukan’(Q.S.An-Nahl : 3)
Ketinggian Allah juga nampak dalam memberikan rezeki, mematikan dan membangkitkan, Allah berfirman:
”Allah-lah yang menciptakan kamu, kemudian memberimu rezki, kemudian mematikanmu, kemudian menghidupkanmu (kembali). Adakah di antara yang kamu sekutukan dengan Allah itu yang dapat berbuat sesuatu dari yang demikian itu? Maha Sucilah Dia dan Maha Tinggi dari apa yang mereka persekutukan”. (Q.S.Ar-Ruum : 40)
Ketinggian Allah juga dapat dilihat daripada perhubungan Allah dengan manusia ; sesungguhnya Allah tidak ada sesiapa yang boleh bercakap dengan Allah secara langsung melainkan dengan perantaraan wahyu, dibelakang tabir atau dengan pengutusan malaikat, Allah berfirman :
”Dan tidak ada bagi seorang manusiapun bahawa Allah berkata-kata dengan dia kecuali dengan perantaraan wahyu atau di belakang tabir atau dengan mengutus seorang utusan (malaikat) lalu diwahyukan kepadanya dengan seizin-Nya apa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dia Maha Tinggi lagi Maha Bijaksana”. (Q.S.Asy-Syuura : 51). Demikianlah ketingian Allah yang menampakkan keagungan dan kemuliaan-Nya.
Selanjutnya Allah menerangkan bahawa Dia lah (Allah) yang Maha Besar (Agung). Maknanya Dia lah Allah  Yang Maha Besar dalam kemuliaan dan keagungan. Kebesaran Allah nampak daripada pemilikan segala yang ada dilangit dan yang ada di bumi ; Allah yang memiliki segala sesuatu dan bukan dimiliki oleh sesuatu apapun, Allah befirman :
”Kepunyaan-Nyalah apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Dan Dialah Yang Maha Tinggi lagi Maha Besar”. (Q.S.Asy-Syuura : 4). Daripada sini nampaklah keagungan dan kemuliaan Allah.  Jelaslah bahawa kesemua kata yang ada didalam Ayat Al-Kursi ini menerangkan tentang Allah Subhanahu wata’ala, menerangkan tentang keagungan dan kemuliaan Allah. Itulah diantara rahsianya mengapa Ayat Al-Kursi ini disebut sebagai Penghulu sekalian ayat-ayat Al-Quran, Rasulullah bersabda: ”Segala sesuatu ada puncaknya, sesungguhnya piuncak Al-Quran adalah Surah Al-Baqoroh, dan didalamnya terdapat sebuah ayat yang mana dia adalah Penghulu ayat-ayat Al-Quran, ayat tersebut adalah Ayat Al-Kursi”. (H.R. At-Turmuzy).
Keagungan ayat Al-Kursi ini dapat juga dilihat dalam sebuah hadith Rasulullah ketika bertanya kepada Abu Al-Mundzir: “Wahai Abu Al-Mundzir, tahukah kamu mana ayat yang paling agung didalam Kitab Allah. Abu Al-Mundzir menjawab : Allah dan Rasul-Nya yang lebih tahu. Rasulullah kembali bertanya lalu Abu Al-Mundzir membaca Ayat Al-Kursi. Lalu Rasulullah menepuk dada sahabat ini dan bersabda :”Demi Allah, ilmu akan menyenangkanmu wahai Abu Al-Mundzir”. (H.R. Muslim)
Ayat Al-Kursi ini baik sekali dibaca ketika hendak tidur. Sesiapa yang membacanya ketika hendak tidur maka Allah akan memeliharanya sehingga Shubuh hari, Rasulullah bersabda : “Apabila kamu hendak pergi tidur maka bacalah Ayat Al-Kursi ! Sesungguhnya Allah akan sentiasa memeliharamu sehingga Subuh hari”.  (Hadith Shahih Riwayat Imam Bukhary).
Wallahu A’lam.
sumber ; Dr.H.Musthafa Umar,Lc,Ma

Tidak ada komentar:

Posting Komentar